assalaamu'alaikum...
Jika ditanya filem apa yang paling membuat saya gundah serta terkesan selepas menontonnya, insyaallah tanpa ragu saya menjawab 'Chidren of Heaven' yang pernah saya tonton di TV 2 ketika berada di sekolah rendah. Filem tersebut menonjolkan isu bagaimana kemiskinan tidak menghalang dua beradik untuk menuntut ilmu walaupun terpaksa berkongsi kasut untuk ke sekolah. Filem karya pengarah terkenal dari Iran, Majid Majidi, ‘Children of Heaven’ bermula apabila Ali (seorang budak - watak utama) berjumpa dengan tukang kasut untuk memperbaiki kasut adiknya. Dalam perjalanan pulang, Ali singgah di kedai runcit untuk membeli barang, dan meletakkan kasut adiknya (yang baru dibaiki) di celah-celah kotak luar kedai runcit tersebut.
Tanpa disedari, kasutnya itu telah dipungut oleh tukang pungut sampah. Di sinilah titik dan babak yang menghidupkan cerita ini. Disebabkan kasut adiknya yang hilang tersebut, kasutnya pula terpaksa digunakan oleh adiknya untuk ke sekolah (pada sebelah pagi), dan adiknya akan berlari sepantasnya untuk digunakan oleh Ali ke sekolah pada sesi petang. Semua ini berlarutan tanpa pengetahuan orang tua mereka, walaupun pernah sekali adiknya iaitu Fatimah akan memberitahu ayahnya tentang kehilangan kasutnya itu, namun ia hanya sekadar ucapan, kerana dia tidak sanggup melihat ayahnya susah dan meminjam wang kerana masalah mereka. Aduh, babak ini amat menyentuh hati saya.
Pada suatu hari, guru disiplin sekolah Ali, telah bersedia untuk menghukum Ali yang telah beberapa hari ia perasan akan kelewatannya. Dia menyuruh Ali pulang dan menyuruh orang tuanya berjumpa dengannya untuk membincangkan masalah kelewatan Ali, hampir setiap hari. Walau Ali menangis dan merayu agar dimaafkannya dan tidak mengulanginya, tetapi guru disiplin tersebut tetap menyuruh ia pulang.
Namun guru kelasnya yang kebetulan terserempak di luar, cuba berbincang dengan guru disiplin tersebut agar dimaafkan, dengan alasan bahawa Ali adalah seorang budak yang baik dan cemerlang di dalam kelas. Ali pernah mendapatkan sebatang pen yang elegan dari gurunya kerana markah ujiannya yang tinggi di dalam kelas. Lalu, pen tersebut diberikan kepada adiknya, untuk memberi kegembiraan sementara kepada adiknya kerana ia merasa bersalah di atas kehilangan kasut adiknya itu. Di antara adegan yang saspens di dalam filem ini ialah ketika Fatimah berlari pulang dari sekolah (sebab nak cepat bagi kasut pada abangnya), tiba-tiba kasutnya terlucut masuk ke longkang dan dihanyutkan sehingga sangkut di dalam ‘terowong longkang’. Ia menangis sedih. Nasib baik ada seorang tua menolongnya menjolok kasut yang tersangkut itu, lalu dikaup oleh pembersih longkang.
Suatu hari, Fatimah ternampak seorang yang memakai kasutnya yang hilang itu ketika dalam perhimpunan di sekolahnya. Lalu, dia mengekori perempuan itu sehingga ke rumahnya. Niat untuk meminta kasutnya itu dibatalkan oleh mereka berdua yang datang pada waktu lain, kerana melihat keadaan ayah perempuan itu yang buta. Di hari yang lain pula, ketika Fatimah berlari pulang, pen yang diberikan abangnya tercicir dan dijumpai oleh perempuan sama diekorinya pada hari sebelumnya. Pada hari berikutnya, mereka berjalan bersama ketika hendak ke sekolah. Namun, Fatimah berasa terkejut apabila kasutnya sudah tidak dipakai oleh perempuan itu, tetapi ia telah dibuang kerana ayahnya telah membelikan kasut yang baru. Sangat sedih, tetapi Fatimah tidak dapat berkata apa-apa.
Musim peperiksaan telah berakhir, dan sekolah Ali mengadakan saringan bagi pemilihan untuk peserta lumba lari bagi mewakili sekolahnya (entahlah, peringkat daerah, negeri atau negara). Pada mulanya Ali tidaklah tertarik untuk mengikuti pemilihan tersebut, namun setelah melihat hadiah bagi pemenang ke-3 adalah sepasang kasut, lalu dia mengubah niat untuk menyertainya. Walau ia sudah terlewat, dan guru sukan tersebut menghalaunya, Ali merayu dan menangis agar diberi peluang untuk diuji kepantasannya. Akhirnya Ali diuji, dan hasilnya sangat menakjubkan guru sukan itu, yang melayakkannya antara 6 pelajar di sekolah tersebut.
Anda nak tahu, aneh kan bagi seorang yang menyertai mana-mana pertandingan tetapi ingin tempat ke-3, tidak pertama? Ia semata-mata kerana sepasang kasut. Ali berlari sekuatnya sehingga mendahului, namun ia memperlahankan lariannya semata-mata untuk menempatkan dirinya di posisi ke-3, dan tidak pertama. Perkara yang dramatik sekali lagi berlaku. Ali terjatuh kerana ditolak oleh pelari di belakangnya. Namun, dia cuba bangkit dan mengejar peserta lainnya tanpa memandang kiri dan kanan, depan atau belakang, kerana ia teringatkan adiknya dan khuatir tidak menang posisi ke-3. Tetapi apa yang berlaku? Tidak disangka, Ali telah menjuarai posisi pertama di dalam pertandingan tersebut.
Ia pulang dengan perasaan hampa, dan dilihat oleh adiknya Fatimah. Ia membuka kasutnya, dan melihat kakinya yang luka hampir di seluruh bahagian. Direndam kakinya di dalam kolam depan rumahnya yang dipenuhi oleh ikan-ikan peliharaannya. And then... TAMAT!.
Lepas tu? tamat. Cerita ni habis tergantung. Pengarahnya bijak memain emosi penonton.Hakikat hidup memang begitu ada awal, tapi tak tahu bila hujungnya.
p/s: Iran hebat boleh menghasilkan filem sebegini, tanpa badget yang tinggi, tapi mampu membeli jiwa penonton, Malaysia bila lagi? n_n
2 comments:
nice try. keep it up!
tq day... kunjung lagi n_n
Post a Comment